Barisan pemain skuasy Malaysia masih di landasan terbaik biarpun terlepas peluang untuk meraih kejuaraan berganda Kejohanan Asia yang menutup tirai saingan di Islamabad, Pakistan, semalam.

Tanpa banyak pilihan kejohanan di peringkat antarabangsa, pemain wanita negara, Rachel Arnold, masih boleh tersenyum untuk membawa pulang pingat perak selepas tumpas 11-8, 13-11, 11-5 kepada pilihan keempat dari Hong Kong, Tong Tsz-Wing.

"Saya bergelut daripada segi mental dalam aksi final kerana tidak dapat rentak permainan.

"Pemain lawan memberi tekanan hebat kepada saya," kata pemain nombor 36 dunia itu di Nadi Arena sebentar tadi.

Rachel hampir lagi menamatkan kemarau enam tahun negara di pentas Asia selepas kali terakhir dirangkul Datuk Nicol David dalam edisi 2015 di Kuwait.

Pencapaian bawa pulang pingat perak adalah jauh lebih baik daripada tiga percubaannya sebelum ini dengan paling jauh adalah mara ke suku akhir.

Ia juga boleh dianggap penutup yang positif buatnya tahun ini selepas membantu Malaysia menjulang kejuaraan Berpasukan Asia serta menggenggam satu kejuaraan individu dalam saingan PSA-SRAM, bulan lalu.

Kejohanan yang menanti Rachel selepas ini merupakan kejuaraan JP Morgan di Amerika Syarikat pada 14 Januari depan.

"Saya mahu terus perbaiki aspek asas selain beraksi lebih tekal apabila berdepan tekanan," katanya.

Dalam masa sama, pemain negara, Ng Eain Yow terlepas untuk menggenggam kejuaraan apabila dikejutkan oleh pilihan kelima juga dari Hong Kong, Yip Tsz Fung, 11-6, 11-13, 11-9.