Jurulatih skuad tinju Terengganu, Che Adli Che Hashim, menyifatkan negeri itu kini di landasan terbaik untuk memperbaiki pencapaian dalam Sukan Malaysia (Sukma) di Perak, tahun depan.

Katanya, keyakinan itu berdasarkan prestasi memberangsangkan dengan pungutan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa dalam Kejohanan Tinju Sirikit Remaja Kebangsaan yang berakhir Sabtu lalu.

“Saya percaya Terengganu berkelebihan untuk menghadapi Sukma akan datang kerana negeri ini memiliki ramai peninju yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Malah, empat peninju kami berada dalam skuad Pelapis Serantau Majlis Sukan Negara (MSN) dan mereka adalah sasaran emas kami.

“Pihak persatuan juga mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan sekolah-sekolah untuk mengenalpasti bakat-bakat baharu yang boleh diketengahkan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, persiapan kali ini lebih serius dan intensif dengan membawa misi besar selepas sekadar memenangi satu pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam Sukma 2016 di Sarawak.

“Tahun lalu, kami bergelut untuk mencari peninju terbaik. Kini, kami sudah mempunyai senarai peninju untuk membawa cabaran Terengganu pada 2018.

“MSNT telah memberi lampu hijau untuk kami menyertai setiap siri kejohanan sirkit remaja sebagai pendedahan.

“Kami akan memberi tumpuan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas dalam Sukma 2018 dalam acara 52kg, 63kg dan 69kg.

“Berdasarkan prestasi semasa, saya yakin kami mampu mencapai sasaran itu dan yang penting, latihan berterusan dan pendedahan dalam kejohanan akan datang akan meningkatkan aksi mereka,” tambah Che Adli.