Beberapa pemain tenis negara mendakwa tidak mendapat elaun bulanan daripada Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) menjelang Sukan SEA Filipina bulan depan.

Mereka tidak mendapat sebarang elaun sejak LTAM memulakan program persiapan ke temasya itu pada 1 Ogos lalu.

Susulan itu, Setiausaha Kehormat LTAM, Kamaruzzaman Kedah, tampil untuk memberikan penjelasan bahawa keadaan itu berlaku disebabkan krisis kekangan bajet yang sedang dilalui badan induk itu.

"Tentang elaun, apabila bajet disediakan dengan jumlah kejohanan dan latihan di luar negara, mereka akan dapat apabila menyertai kejohanan.

"Itu yang dijanjikan kepada pemain dan setakat ini, kami sudah membayarnya," katanya.

Kamaruzzaman turut mendedahkan terdapat beberapa perubahan dalam perancangan skuad negara dalam Sukan SEA selepas pemain senior, Jawairiah Noordin, melakar kejutan apabila mara ke final Kejohanan Persatuan Tenis Antarabangsa (ITF) Wanita yang sedang berlangsung di Mesir.

Ia membuktikan pemain berusia 29 tahun itu layak untuk membawa cabaran negara dalam temasya berkenaan.

"Asalnya, yang beraksi dalam acara perseorangan ialah Suhana (Sofia Adam Das) dan Sara Nayar.

"Tetapi kami masih boleh melakukan pertukaran menjelang Sukan SEA.

"Kerana dia (Jawairiah) sudah memiliki mata yang lebih tinggi berbanding pemian lain dan berharapan untuk menjadi pemain pilihan selain meraih pingat," tambahnya.