Skuad taekwondo negara akan menerima sentuhan atlet nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kang Wan-jin, bagi memantapkan persiapan menjelang Sukan SEA Filipina, November depan.

Jurulatih skuad kebangsaan, Yap Yih Ting, menjelaskan penglibatan Wan-jin selaku rakan sepelatih, akan membantu anak buahnya meningkatkan prestasi.

Buat masa ini, hanya satu pingat emas disasarkan dalam acara poomsae berpasukan campuran.

Namun, Yih Ting optimis skuad negara mampu meraih lebih daripada itu berdasarkan pencapaian Sara Yap Kim Wen meraih pingat emas dalam Kejohanan Taekwondo Terbuka Asia di Vietnam, bulan lalu.

"Hanya berbaki dua bulan sebelum Sukan SEA, kami akan menjemput atlet nombor satu dunia dari Korea Selatan itu untuk berlatih bersama skuad negara selama dua minggu bermula bulan depan.

"Dia adalah pilihan terbaik buat masa ini.

"Tahun lalu, kami pernah menjemput juara dunia dua kali (juara dunia poomsae 2014 dan 2016) itu untuk berlatih selama dua minggu di Malaysia sebelum Sukan Asia.

"Hasilnya, kami memenangi satu pingat gangsa di Indonesia," katanya.

Menurut pengarah teknikal Taekwondo Malaysia, R. Dhanaraj, skuad negara menyenaraikan 12 atlet ke temasya itu dengan enam daripada mereka membabitkan disiplin poomsae dan selebihnya dalam acara kyorugi.

"Untuk Sukan SEA di Filipina, kami meletakkan sasaran dua pingat emas, satu menerusi poomsae dan satu dalam kyorugi.

"Ia kerana kami mahu mengurangkan tekanan selain tidak memiliki kelebihan selaku tuan rumah," katanya.