Pencapaian cemerlang sepanjang 2019 membolehkan pasukan ragbi Terengganu menjadi antara yang terpilih sebagai ikon pelancongan negeri itu.

Menurut Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ragbi Negeri Terengganu (PRNT), Che Mohd Zulkarnain Abdul Wahab, pemilihan itu meletakkan skuad ragbi Terengganu setaraf dengan pasukan bola sepak, Terengganu FC (TFC), dan pasukan berbasikal profesional, Terengganu Cycling Team (TSG).

Ini dibuktikan selepas skuad ragbi Terengganu mengesahkan status selaku pasukan nombor satu negara susulan kejuaraan berganda dalam Kejohanan Kebangsaan 7's, September lalu dan Piala Agong (November).

Che Mohd Zulkarnain berkata jika sebelum ini sukan ragbi dipandang sinis peminat sukan negeri itu, sudah tiba masanya untuk lebih banyak perhatian dan pembangunan ditumpukan kepadanya.

"Skuad ragbi Terengganu sudah membuktikan kami bukan sekadar jaguh kampung kerana ramai pemain senior dan pelapis dipanggil pasukan negara.

"Lantikan selaku Ikon Pelancongan Negeri menjadi suntikan moral terbaik untuk pasukan ragbi meneruskan kecemerlangan dalam 2020," katanya.

Pasukan ragbi Terengganu atau turut dikenali sebagai TRT dipilih Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu sebagai ikon pelancongan dalam sambutan ambang tahun baru 2020 malam tadi.

Turut terpilih adalah TFC, TSG dan Pasukan Hoki Terengganu (THT).


Editor: Muzaffar Musa