Penolong jurulatih skuad pembangunan hoki negara, Mohd Amin Rahim, tidak rela dipalit satu lagi kekalahan besar dalam aksi persahabatan kedua menentang pasukan kebangsaan di Stadium Hoki Tun Razak, malam ini.

Skuad pembangunan negara masih merasai kekalahan besar selepas dibelasah 6-1 dalam perlawanan pertama, kelmarin.

Antara punca utamanya, mereka lebih banyak memberi tumpuan terhadap acara hoki dalam dewan untuk Sukan SEA, 19-30 Ogos depan.

Malah, Amin juga sudah mengesan kelemahan yang perlu diperbaiki bagi mengelak satu lagi kekalahan besar.

"Pemain kami sudah hampir dua bulan tidak memegang kayu hoki, maksud saya beralih daripada acara tertutup. Pada suku ketiga perlawanan, saya melihat pemain mula mendapat rentak, bangkit dan memberi tentangan.

"Bagi saya, cabaran dan tentangan itu baik untuk skuad senior kerana mereka akan berjuang dalam Liga Hoki Dunia Pusingan Ketiga nanti," katanya.

Aksi persahabatan ini adalah aksi terakhir buat pasukan kebangsaan sebelum mengumumkan senarai 18 pemain, Jumaat ini, untuk separuh akhir Liga Hoki Dunia di London, England, 15-25 Jun ini.

Ketua jurulatih negara, Stephen Van Huizen, berdepan tugas penting memastikan Malaysia layak ke Piala Dunia 2018 selepas The Malaysian Hockey Tigers menamatkan cabaran di tangga ke-12 dalam edisi 2014.