Skuad luncur ais negara menggunakan khidmat jurulatih dari Korea Selatan selama sebulan bagi memastikan teknik dan taktikal berkembang seiring khusus bagi acara berganti-ganti.

Seramai enam atlet kebangsaan menyertai kem latihan di Korea Selatan manakala empat atlet lagi hanya menjalani latihan di Malaysia kerana perlu menumpukan perhatian kepada pelajaran mereka.

Kekangan ini tidak mahu dijadikan sebagai alasan, dengan usaha Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) menerusi permintaan jurulatih negara, Tan Bee Leng, skuad mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih Korea Selatan, Chung Dong-Hwa, selama sebulan bermula 30 Mei lalu hingga 2 Julai.

Bee Leng berkata, ini adalah usaha untuk memastikan perkembangan teknik yang seiring membabitkan 10 atlet yang akan berganding dalam Sukan SEA bagi acara short track speed.

"Saya meletakkan fokus kepada pasukan yang tinggal di sini kerana secara asasnya mereka perlu berlari bersama-sama. Mereka hanya empat orang yang tinggal di sini.

"Saya tidak mahu jurang antara mereka dengan yang menjalani latihan di Korea Selatan terlalu jauh. Dengan itu, saya memohon kepada persatuan agar menempatkan seorang jurulatih dari Korea Selatan untuk melatih mereka selama sebulan," katanya.

Reaksi daripada atlet juga tampak positif selepas mereka melewati setengah bulan latihan bersama dengan Dong-Hwa.

"Enam jam sehari kami berlatih di Malaysia dan selepas sebulan, kami akan ke Korea Selatan untuk menjalani ujian masa. Pada Julai, kami akan menjalani ujian untuk mendapatkan masa terbaik menjelang Sukan SEA," kata See Wan Ni.


Acara Short track speed dalam Sukan SEA

Tarikh pertandingan: 29-30 Ogos 2017

Venue pertandingan: Empire City, Damansara Perdana

Jumlah emas ditawarkan: 6

Acara lelaki & wanita : 500m, 1000m & 3000m berganti-ganti