Skuad kejar-mengejar berpasukan lelaki negara yang diketuai Muhammad Afiq Huznie Othman hampir memecahkan rekod kebangsaan dalam sesi latihan simulasi untuk Sukan SEA 2017 di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Skuad itu mencatat 4 minit 13.002 saat, hanya ketinggalan 0.5 saat berbanding rekod kebangsaan yang juga dicipta mereka ketika meraih tangga kelima Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India pada Februari lalu.

"Saya pun rasa terkejut selepas membuat persediaan rapi, termasuk di Melbourne. Hanya 0.5 saat untuk pecahkan rekod kebangsaan dan dengan berbaki dua minggu lagi, insya-Allah, kami akan buat yang terbaik untuk Sukan SEA kali ini," katanya.

Melihat kepada potensi pingat emas dalam temasya dwitahunan itu, Afiq yang juga adik kepada pelumba lebuh raya, Adiq Husainie Othman, berkata: "Insya-Allah, memang kami akan dapatkan pingat emas acara ini."

Sementara itu, jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley, dan pelumba-pelumba senior, termasuk Azizulhasni Awang, yang kini berada di Australia akan tiba di tanah air pada 10 Ogos ini.

"Mereka akan pulang dan ia bakal memberi semangat kepada kami. Ia pasti memberi semangat baru untuk kami meningkatkan lagi catatan masa apabila beraksi dalam Sukan SEA nanti," kata seorang lagi pelumba negara, Irwandie Lakasek.

Sukan berbasikal yang menawarkan 13 pingat emas dalam Sukan SEA Ke-29 akan berlangsung dari 27 hingga 29 Ogos.

Acara:

• Pecut (L & W)
• Keirin (L & W)
• Omnium (L & W)
• Pecut berpasukan (L & W)
• 1km ujian masa (L)
• 500m ujian masa (W)
• Kejar mengejar individu (L)
• Kejar mengejar berpasukan (W)
• Perlumbaan scratch (L)