Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, menganggap dua kemenangan dalam aksi persahabatan di Belanda sebagai petanda yang baik sebelum anak buahnya berhadapan ujian sebenar dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia Wanita di Belgium, dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Kemenangan ke atas dua kelab Belanda, HIC dan Pinoke, memberi kelegaan buat Dhaarma dalam mencorak pasukannya di Belgium nanti.

Ia umpama petanda positif buat skuad negara, di mana dalam jelajah Eropah pada bulan lalu, Malaysia sukar mencari ruang apabila berhadapan dua pasukan ini yang membawa keputusan tewas dan seri
sahaja.

Kemenangan 3-1 ke atas HIC dan menundukkan Pinoke 4-2 memberi maksud skuad hoki wanita negara mengalami peningkatan prestasi yang drastik.

"Kami menampilkan permainan yang berbeza kali ini dengan tidak memberikan sebarang pukulan sudut penalti kepada pasukan lawan. Ia merupakan satu petanda baik menjelang saingan Liga Hoki Dunia," kata Dhaarma.

Skuad negara bakal berhadapan satu lagi aksi persahabatan bertemu kelab Hurley sebelum berlepas ke Brussels bagi menghadapi perlawanan pertama separuh akhir Liga Hoki Dunia Wanita bertemu Australia
pada 21 Jun.

"Saya mengakui permainan kami semakin meningkat, pihak lawan sukar mengawal kami dan memuji persembahan kami." tambahnya.