Pasukan hoki senior negara mendapat perkhabaran gembira apabila kekal di ranking ke-11 dunia walaupun tidak menyertai Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malaysia juga kini hanya dibezakan empat mata dengan pasukan di ranking ke-10 dunia, Kanada

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) merancang untuk menghantar skuad kendalian Arul Selvaraj itu ke Sepanyol bulan depan untuk menjalani latihan dan mengadakan perlawanan ujian di negara berkenaan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, Arul berkata: "Cara ranking dikira dalam sistem ini adalah perbezaan mata di antara pasukan A dan pasukan B dan terdapat pengiraan berdasarkan pasukan mana di kedudukan paling atas akan kehilangan mata yang lebih banyak sekiranya tewas kepada pasukan di ranking lebih rendah.

"Ranking terbaru FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) baru sahaja dikeluarkan selepas Sukan Olimpik pada 8 Ogos lalu dan kita masih berada di tangga ke-11."