MALAYSIA 3 INDIA 2

Skuad hoki lelaki negara mencipta sejarah layak ke peringkat separuh akhir buat kali pertama dalam kempen Separuh Akhir Liga Hoki Dunia selepas menewaskan India 3-2 di Pusat Hoki Lee Valley, London, malam tadi.


Kemenangan itu mengesahkan kelayakan skuad Malaysian Hockey Tigers untuk beraksi dalam Piala Dunia di India, tahun depan.

Untuk rekod, Malaysia pernah layak ke Piala Dunia sebanyak tujuh kali pada 1973, 1975, 1978, 1982, 1998, 2002 dan 2014.

Muhammad Razie Abdul Rahim membuka jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-19 sebelum Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-23.

India bangkit bermula empat minit kemudian apabila Ramandeep Singh menjaringkan dua gol, masing-masing menerusi jaringan padang dan pukulan sudut penalti.

Skuad bimbingan Stephen Van Huizen menguasai 72 peratus perlawanan dengan kedudukan 2-2 terikat sehingga tamat suku ketiga.

Saat mendebarkan bermula apabila Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti keenam dalam suku keempat sebelum pengadil sekali lagi menyalahkan India akibat bola terkena kaki pemainnya.

Pukulan sudut penalti ketujuh akhirnya disempurnakan dengan baik oleh Razie untuk memastikan kemenangan buat Malaysia walaupun India memperoleh beberapa peluang pada hujung perlawanan.

Dalam aksi separuh akhir Sabtu ini, Malaysia akan menentang Argentina yang sebelum itu menewaskan Pakistan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir.

Empat pasukan terbaik dalam kejohanan di London ini juga akan melangkah ke Kejohanan Akhir Liga Hoki Dunia di India, 1-10 Disember ini.

Malaysia bermula dengan langkah kiri dalam kejohanan ini selepas tewas kepada Argentina 5-2 dan kalah 7-3 di tangan England dalam saingan Kumpulan A.

Kebangkitan Malaysia bermula setelah menewaskan Korea Selatan 1-0 sebelum perlawanan keempat peringkat kumpulan menyaksikan skuad negara membelasah China 5-1.