Skuad futsal negara bakal berdepan ranjau berliku dalam Kejohanan Futsal AFF di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bulan depan susulan sekali lagi berdepan masalah persiapan ketika beberapa negara lain tidak menang tangan menerima pendedahan di luar negara.

Skuad futsal negara meraih pencapaian membanggakan dalam Sukan SEA Kuala Lumpur apabila meraih pingat perak selain membuktikan jurang dengan Thailand tidak jauh berbeza.

Menariknya, ia dilakukan tanpa persediaan mantap kerana pemain beraksi dalam tempoh singkat untuk saingan liga dan hanya menyertai satu kejohanan jemputan di China.

Ia tampak berulang lagi untuk persiapan ke Kejohanan AFF apabila tiada penglibatan skuad negara dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini.

Justeru, pengendali pasukan, Chew Chun Yong, berharap permohonannya untuk membawa skuad negara berlatih di Uzbekistan atau Qatar mendapat kelulusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam usahanya mengekalkan momentum pemainnya untuk Kejohanan AFF.

"Kami hanya selesai mengharungi saingan Sukan SEA dan terdapat momentum yang positif bagi menghadapi kejohanan akan datang.

"Saya akan cuba memastikan ia dapat diteruskan dengan menyertai beberapa kejohanan serta menjalani latihan di luar negara," katanya.

Skuad futsal negara akan menjalani latihan pusat mulai Jumaat ini dan sekiranya tiada kejohanan jemputan disertai mereka, hanya persiapan di tanahair menjadi sandaran untuk mencipta sesuatu di Vietnam nanti.