Skuad bola tampar negara gagal mara ke perlawanan akhir Kejohanan Piala Datuk Bandar 2017 selepas tewas 3-2 kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam aksi separuh akhir, malam ini.

Skuad kebangsaan berdepan laluan perit dalam aksi separuh akhir berdepan tuan rumah, MBSA, apabila tewas 25-20 dalam set pertama.

Dalam set berikutnya, anak buah Tey Yeu Siong itu tampak berjaya memperbaiki kesilapan awal untuk menumpaskan MBSA dalam aksi agak sengit 25-23.

Perlawanan semakin menarik dalam set ketiga untuk Malaysia mula mengorak langkah mendahului pungutan mata, namun ia tidak bertahan lama apabila MBSA terus cemerlang sebelum menang 25-18.

Semestinya tekanan makin menghimpit pemenang pingat perak Sukan SEA 2001 itu apabila tuan rumah hanya selangkah untuk mara ke final dalam set keempat.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mudah mengalah apabila memastikan kemenangan berpihak kepada mereka 24-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Dalam set yang penuh getir itu, MBSA semakin garang untuk menguasai mata permainan dan akhirnya mengesahkan slot final dengan menewaskan pasukan kebangsaan 15-11.

"Bola pertama kami agak kurang baik.

"Saya berasakan stamina pemain negara masih belum mencapai tahap seperti yang saya inginkan," kata Yeu Siong.