Skuad bola baling lelaki remaja negara mahu menamatkan dominasi Thailand di rantau Asia Tenggara menjelang Kejohanan Trofi Cabaran Asia Zon B IHF pertengahan April nanti.

Reputasi Thailand sebagai pasukan handalan di rantau ini sukar digugat dengan pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini adalah naib juara sebanyak empat kali berturut-turut di belakang mereka.

Kejohanan ini menyaksikan Malaysia diberi peluang sebagai tuan rumah selepas edisi 2012 dan 2014, ketika itu ia di langsungkan di Johor Bahru manakala saingan wanita
akan diadakan di Filipina.

Perbezaan kali ini ialah ia dibahagikan dua peringkat umur iaitu B-18 serta B-20 tahun dengan Kompleks Sukan MSN Panasonic di Shah Alam menjadi gelanggang pertandingan.

Melengkapkan penyertaan adalah Singapura, Filipina dan Indonesia dengan juara berpeluang untuk menyertai Kejohanan Asia 2018, September nanti.

Naib Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur, Dr Abang Ismail Abang Julhi, percaya persiapan skuad negara kali ini lebih baik menerusi kem latihan berpusat yang merangkumi tiga fasa.

Ismail turut melihat penyertaan sulung skuad bola baling negara dalam temasya Sukan Asia Indonesia, Ogos nanti bukan hanya sekadar pelengkap penyertaan sahaja.

"Sasaran kami adalah untuk muncul juara memandangkan kejohanan ini dilangsungkan di tempat sendiri selain bakal mendapat sokongan padu penyokong.

"Kami cuba untuk menewaskan Thailand berdasarkan persiapan yang telah dilakukan," katanya.

Sebaliknya ia beri peluang untuk menguji kemampuan mereka menentang pasukan handalan Asia yang lain seperti Jepun, Korea Selatan serta China.