Terengganu memulakan saingan Liga Hoki Kebangsaan (LHK) Bawah 16 Tahun (B-16) dengan langkah kanan apabila menewaskan Negeri Sembilan 4-1 dalam aksi Kumpulan A, hari ini.

Kejayaan itu, bagaimanapun, masih belum dapat mengundang rasa puas pengendalinya, Nik Rozemi Nik Mohamad.

"Saya masih belum berpuas hati dengan aksi anak buah saya kerana ada beberapa kesilapan mudah yang dilakukan mereka, terutama di bahagian pertahanan.

"Saya perlu memperbaiki kesilapan-kesilapan ini secepat mungkin untuk menghadapi baki perlawanan yang seterusnya," ujarnya.

Terengganu mendominasi sebahagian besar perlawanan sebaik wisel ditiupkan.

Muhammad Yusri Jusoh berjaya membuka tirai jaringan menerusi jaringan padang pada minit ke-14.

Terengganu terus melebarkan jurang gol dan kali ini menerusi pukulan sudut penalti, Wan Mohd Ikram Wan Mohd Tarmizi, pada minit ke-36.

Gawang Negeri Sembilan terus dibolosi Terengganu dan kali ini menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Ahmad Izzat Zariq, empat minit kemudian.

Berselang seminit, Negeri Sembilan merapatkan jurang gol dengan jaringan padang Aiman Haqim.

Yusri kemudian merakamkan jaringan kedua peribadinya melalui jaringan padang dan kedudukan itu kekal memihak kepada Terengganu sehingga wisel penamat.

KEPUTUSAN LAIN:

JOHOR 0 PULAU PINANG 3

MELAKA 2 PERAK 4