Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengkaji skim insurans atlet negara bagi diselaraskan ke dalam program sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN).

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, satu pusat sehenti akan ditubuhkan tahun ini untuk memudahkan komunikasi di antara atlet negara dan pihak pengurusan sukan di negara ini.

"KBS melalui MSN akan terus menambah baik urusan kebajikan atlet negara, termasuk selepas tamat daripada program sukan bersama MSN," katanya dalam kiriman terbaru dalam laman Instagramnya.

Syed Saddiq menjelaskan KBS akan terus memperkasakan kerjasama dengan universiti tempatan dan institusi yang menawarkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan memberikan biasiswa selain memudahkan atlet negara meneruskan pembelajaran sewaktu menjalani latihan di institusi terlibat.

"Akhir tahun lepas, kami dapat menjalin hubungan dengan dua lagi universiti (keseluruhan tujuh).

"Sasaran kami adalah satu universiti di setiap satu negeri di seluruh Malaysia menjelang hujung tahun ini.

"Fleksibiliti belajar dan biasiswa," jelasnya.

Syed Saddiq sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan dua bekas atlet berbasikal paralimpik negara, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Nur Syafiq Suhaimy, malam tadi dan berjanji akan membantu mereka selepas ditamatkan kontrak oleh MSN.

Shukor, 23, dan Mohd Nur Syafiq, 27, dilaporkan terpaksa menjual buah jambu dan terlibat dalam perniagaan gunting rambut selepas kontrak mereka ditamatkan MSN.

Shukor ditamatkan kontrak kerana gagal meraih sebarang pingat dalam Sukan Para Asia 2018 dan masalah disiplin manakala Mohd Nur Syafiq pula disebabkan alasan tidak boleh mengayuh basikal.

Ia susulan kemalangan yang dialami Mohd Nur Syafiq sehingga menyebabkan kaki kanannya patah ketika menjalani latihan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) pada September 2017, iaitu sehari sebelum Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur bermula.

-- BERNAMA