Atlet ski air wanita negara, Aaliyah Yoong, membutirkan pingat emas yang ke-114 buat Malaysia menerusi acara jump dalam aksi di Kompleks Sukan Air Putrajaya, sebentar tadi.

Dia melakukan lompatan sejauh 32.6 meter untuk memastikan tempat pertama miliknya, menewaskan pencabar terdekat dari Indonesia, Rossi Amir, yang meraih 30.8m.

Aaliyah turut berjaya memecahkan rekod kebangsaan milik kakaknya sendiri, Phillipa Yoong, iaitu 32.5m yang bertahan selama 20 tahun sebelum ini.

"Saya amat gembira ketika ini. Saya terkejut kerana berjaya mengatasi rekod kakak saya dan berjaya meraih pingat kerana saya bukan atlet pilihan dalam acara ini.

"Saya sangat gembira berjaya meraih emas ketiga meskipun sasaran saya adalah dua pingat emas," katanya.

Tempat ketiga menjadi milik Nur Alimah Priambodo (Indonesia) yang mencatat 27.6 meter.

Bagaimanapun, Aaliyah sekadar mengutip perak bagi acara slalom selepas gagal menyaingi pilihan pertama, Sasha Siew Hoon Christian dari Singapura.

Dia merakamkan 2.00/55/13.00 mata keseluruhan, Sasha mengutip 3.50/55/13.00 mata sementara Ummu Thoyibhatus Sholikah (Indonesia) membawa pulang gangsa dengan 1.25/55/14.25 mata.


Gambar kredit: Twitter @AtletMalaysia

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.