Skuad karate Kata Sabah masih menunggu 'lampu hijau' daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah untuk mereka kembali menjalani latihan.

Setiausaha Agung Persatuan Karate Sabah (SKA), Julian Chin ketika dihubungi, semalam, berkata mereka telah memohon kepada MSN Sabah untuk menyambung semula latihan namun sehingga kini belum ada keputusan dibuat.

"Buat masa ini, kesemua pelatih kita meneruskan latihan di rumah masing-masing berpandu kepada program yang diberikan jurulatih.

"Bagaimanapun di bulan puasa ini, atlet yang beragama Islam dikecualikan daripada berlatih namun mereka dinasihatkan supaya terus menjaga kecergasan diri masing-masing," katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Sabah memutuskan untuk membenarkan semula latihan atlet negeri bagi sukan karate namun hanya bagi kategori Kata.

Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada kebenaran MSN Sabah.

Dalam pada itu, Julian berkata, semula atlet karate Sabah akan diberikan cuti tiga hari daripada menjalani latihan sempena Aidilfitri nanti.

Katanya, latihan hanya akan bersambung semula pada Rabu minggu depan.