Walaupun sekadar menduduki tempat kedua keseluruhan, Persatuan Karate Sabah (SKA) tetap cemerlang apabila merangkul tujuh pingat emas, lima perak dan lima gangsa dalam Kejohanan Piala Karate 2018 kali ke-9 yang berakhir semalam di Stadium Titiwangsa.

Kejohanan selama dua hari itu menyaksikan sebanyak 29 pasukan, termasuk dari luar negara, mengambil bahagian, dengan pasukan dari Kuala Lumpur, Hayashi-Ha, muncul juara keseluruhan selepas mengutip 16 emas, 15 perak dan 36 gangsa.

SKA yang menghantar 21 atlet memperolehi pingat emas menerusi, Bibi Aysha, Nur Radhiah Fathiah, Muhammad Akid, Mohd Syafieqrullah, Muhammad Rafiuddin Faiz, Nurhana Nadirah dan Ivan Charles.

Sementara itu, lima pingat perak yang dikutip SKA adalah menerusi Nur Rasyiqah Fari’ah, Mohd Irfan Shah, Mark Kelvin, Brandon Zimito, dan Daniel Milji manakala pingat gangsa masing-masing diraih, Shaddad Iqbal, Nathalia Sherawinnie, Syasya Nursyahidah, Muhammad Aiman dan Brandon Zimito.

Setiausaha Agung SKA, Julian Chin berkata pihaknya perlu lebih berusaha, terutama dalam meningkat serta membangunkan prestasi atlet karate mereka dengan cara terbaik.

"Sabah memiliki ramai atlet berpotensi dalam sukan karate dan saya harap mereka akan terus meningkat untuk menjadi juara kebangsaan dan mungkin juga juara dunia pada masa akan datang," katanya.