Persatuan Karate Sabah (SKA) berpuas hati dengan sambutan yang diterima dalam Program Pembangunan Kenal Pasti Bakat (TID) yang masih berjalan di sekitar negeri berkenaan.

Setiausaha Agungnya, Julian Chin, berkata kira-kira 1,000 orang telah menyertai program berkenaan yang diadakan di lima daerah, sebelum ini, iaitu Keningau, Kemabong, Telupid, Sandakan dan Ranau.

"Kami gembira dengan sokongan yang diberikan cawangan persatuan ini di setiap daerah, begitu juga dengan kelab-kelab karate lain.

"Mereka banyak membantu dalam menjayakan program ini dan bagi perkembangan sukan karate di negeri ini. Ia sangat menggalakkan," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini.

Selain melaksanakan program TID, persatuan berkenaan turut berpeluang mendengar masalah yang dihadapi oleh setiap cawangan dalam membangunkan sukan karate di Sabah.

"Kami akan meneruskan kerjasama ini, terutama dalam mengembangkan lagi pembangunan akar umbi sukan karate di seluruh negeri," katanya.

Tambahnya, program TID akan diteruskan dengan Tawau bakal menjadi destinasi seterusnya.