S. Sivasangari membuktikan mengapa dia dicanang sebagai pengganti Datuk Nicol David susulan kejayaan melengkapkan koleksi kejuaraan dalam Kejohanan Remaja Asia dengan merangkul gelaran bawah 19 tahun.

Itu merupakan pencapaian yang menakjubkan buat Sivasangari, yang sebelum ini telah memenangi gelaran pada peringkat bawah 13, 15 dan 17 tahun.

Final edisi ke-23 bawah 19 tahun perempuan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil menyaksikan Sivasangari mencongak perhitungan menentang wakil Jepun, Satomi Watanabe.

Bintang muda berusia 17 tahun itu memulakan saingan dengan langkah kanan apabila memenangi dua set pertama 11-8 dan 11-7.

Malah, kebangkitan Satomi pada set berikutnya hasil kemenangan 11-4 tidak menggugat momentum Sivasangari.

Selepas 44 minit bertarung, wakil negara itu menang pertembungan dengan keputusan 11-9 dalam set terakhir.

"Dia melakukan kebangkitan tetapi saya cuba untuk mengheret perlawanan dan bermain dengan selamat.

"Saya boleh mendengar keadaan dia yang sedikit keletihan, jadi saya menggunakan kesempatan itu untuk mengheret permainan dan membiarkan dia lebih keletihan," katanya.

Selepas menawan saingan remaja Asia itu dalam setiap kategori, Sivasangari menjadikan Terbuka British dan Kejohanan Remaja Dunia 2017 sebagai sasaran berikutnya.

"Saya berasa begitu gembira. Memenangi kategori bawah 19 adalah yang terbaik kerana itu merupakan peringkat tertinggi dan ia perlawanan yang lebih matang kalau dibandingkan dengan bawah 13, 15 dan 17 tahun.

"Saya berasa sangat gembira, terutamanya tahun ini saya boleh memenangi gelaran di hadapan keluarga, rakan-rakan dan jurulatih saya."