S. Sivasangari menghadirkan keceriaan buat kem Malaysia selepas membuktikan status selaku antara prospek pemain pelapis terbaik negara dalam Kejohanan Remaja Asia kategori bawah 19 tahun di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Dia unggul dengan menoktahkan cabaran lawan dari Jepun, Satomi Watanabe, dalam aksi empat set untuk muncul juara dengan kemenangan 11-8, 11-7, 4-11, 11-9.

Meskipun baru berusia 17 tahun, Sivasangari mempamerkan aksi matang dengan lebih selesa mengajak lawan bermain rally.

Ternyata, percaturannya berhasil selepas menang dua set pertama, 11-8, 11-7.

Namun, memasuki set ketiga, Watanabe meningkatkan tempo permainan serta tampil lebih agresif dan memerangkap Sivasangari untuk menang mudah 11-4.

Aksi dalam set keempat berlangsung penuh mendebarkan, dengan kedua-dua pemain seringkali mengutip mata demi mata.

Dengan hanya perbezaan dua mata di penghujung aksi, Sivangasari mempunyai kelebihan menerusi pukulan kilas, untuk menewaskan Watanabe dengan keputusan akhir 11-8, 11-7, 4-11 dan 11-9.