Pemain boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, berpendapat bahawa ia menjadi satu kerugian buat tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, jika tidak menyenaraikan acara sukan itu

Dia berkata Filipina adalah antara negara yang mempunyai barisan atlet terbaik dalam sukan itu selain kemudahan gelanggang pertandingan dan kelebihan daripada segi sokongan moral penonton tempatan.

“Sudah semestinya atlet acara ini mahu ia disenaraikan dalam Sukan SEA akan datang. Kalau diikutkan, tuan rumah mempunyai ramai pemain yang bagus. Bagi saya, ia menjadi satu kerugian untuk kontinjen negara mereka sendiri jika boling padang tidak disenaraikan," katanya.

Siti Zalina turut mengakui acara boling padang jarang sekali dipertandingkan dalam temasya sukan besar dan hanya terhad dalam Sukan SEA dan Sukan Komanwel, bergantung kepada kemudahan gelanggang di negara penganjur.

“Lagipun untuk acara boling padang ini, kalau di Sukan SEA, kita hanya berpeluang jika tuan rumah adalah Brunei, Thailand, Malaysia dan Filipina,” katanya kepada Bernama.

Ketiadaan acara boling padang secara tidak langsung menjejaskan kutipan pingat emas kontinjen negara dalam temasya dwitahunan itu.

“Saya dengar beberapa negara akan mengemukakan rayuan dan tidak pasti apa keputusannya nanti. Harapan agar ada kata sepakat yang positif,” kata atlet berusia 39 tahun itu.

Dalam edisi 2017 di Kuala Lumpur, skuad boling padang negara Malaysia meraih tujuh emas.

Dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebelum ini, Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) mengeluarkan senarai awal 30 sukan untuk Sukan SEA ke-30 yang dijadual berlangsung dari 30 November hingga 10 Disember 2019 di tiga bandar kluster, iaitu Clark, Subic dan Metro Manila.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) diberikan masa sehingga Rabu ini untuk menghantar rayuan dan cadangan sukan tambahan bagi dimasukkan dalam Sukan SEA 2019.