Pemain tengah skuad hoki wanita negara, Siti Rahmah Othman, menganggap peluang untuk meraih kemenangan ke atas Belgium diibaratkan sebagai tiket penting dalam usaha untuk mendapatkan sokongan ramai pihak selepas sekian lama terpinggir.

Kesuraman skuad hoki wanita sebelum ini membuatkan kehadiran mereka sering dipandang sepi serta jarang diberikan perhatian.

Setelah 13 tahun bergelumang dalam dunia hoki, Siti Rahmah mahu mengubah situasi itu dan dia tidak rela menggantung kayu hoki tanpa meninggalkan sebarang kejayaan buat negara.

Dia juga sedar hanya kemenangan ke atas skuad tuan rumah yang akan membolehkan pasukannya mencongak aksi Piala Dunia pada tahun hadapan.

“Kami akan memberikan sepenuh kudrat untuk memastikan peluang ke Piala Dunia tidak berakhir.

“Memang cita-cita saya sebelum berhenti ialah untuk mengharumkan nama skuad hoki wanita negara,” kata Rahmah.

Sementara itu, pemain pertahanan, Noor Hasliza Ali, menyifatkan pertembungan dengan Belgium penuh misteri kerana mereka tidak pernah bertemu sebelum ini.

Situasi itu tidak bermakna dia menyerah kalah, sebaliknya mengharapkan pertembungan pertama kedua-dua pasukan bakal memihak kepada Malaysia dalam usaha untuk meraih tiga mata pertama dalam separuh akhir Liga Hoki Dunia.

“Belgium memang menjadi sasaran kami sejak awal.

“Kami tidak pernah bertemu mereka, namun saya yakin semua pemain akan meletakkan fokus sepenuhnya,” ujar Hasliza.