Jurulatih lompat jauh negara, Ahmad Firdaus Salim, menetapkan sasaran buat Andre Anura Anuar untuk melepasi jarak kelayakan Sukan Olimpik Tokyo Julai depan , 8.22 meter, dalam kejohanan simulasi olahraga di Trek Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok.

"Persediaan kami terhadap ujian ini semuanya berjalan lancar.

"Dua hari lalu kami ada buat ujian. Lompatan mereka lebih tinggi daripada sebelum ini.

"Ujian Andrea menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding Sukan SEA 2019 jadi kejohanan ini akan hasil keputusan yang baik untuknya," katanya ketika ditemu bual wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, hari ini.





Pencapaian itu penting walaupun kejohanan terbabit tidak diiktiraf sebagai kelayakan temasya.

"Dia perlu lepasi had 8.00m terlebih dahulu.

"Saya sebenarnya tidak terkejut dia mampu lepasi had Sukan Olimpik sebab daripada segi fizikal dan mentalnya, dia sudah bersedia.

"Sepanjang persediaan hujung tahun ini, walaupun tidak rasmi, kami tahu jalan kami lebih mudah pada tahun depan," katanya.

Sementara itu, juara remaja kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd Fahmi akan mencabar lelaki terpantas Asia Tenggara, Mohd Haiqal Hanafi, buat kali kedua.

Mereka akan membentuk saingan tiga penjuru dengan kehadiran Jonathan Nepa.

Lebih menarik, Azeem yang dinobatkan remaja terpantas dunia apabila melakukan 21.24 saat dalam 200m Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, tahun lalu, belum pernah menewaskan kedua-dua pelari senior itu.

"Saya kini dalam fasa 'conditioning' sebagai persediaan tahun depan.

"Saya harap dapat mengembalikan teknik larian dalam kejohanan minggu ini dan mungkin berada dalam catatan 10.70 saat ke bawah untuk 100m sementara dalam 200m, kurang 21.50s," katanya pula.