Pesilat kelahiran Kelantan, Siti Nor Alia Kartika Mohd Syahan, mahu menjadikan Kejohanan Karnival Pelapis 2019 sebagai salah satu medan untuk mendapatkan slot beraksi dalam Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020.

Dia melangkah ke peringkat separuh akhir kategori putri kelas A selepas menewaskan pesilat Pahang, Norsyahirah Marozon, di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.

Berbekalkan persiapan dalam tempoh singkat, pesilat berusia 18 tahun berkenaan mempamerkan aksi cemerlang di peringkat suku akhir apabila meraih kemenangan secara teknikal menerusi aksi agresif daripada permulaan hingga akhir pertarungan sehingga lawannya itu tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.

"Saya menyasarkan bahagian badannya (tetapi terkena mukanya), mungkin daripada situ dia mula berasa kesakitan.

"Saya rasa (tindakan itu) tidak salah kerana saya mendapat markah yang betul.

"Jadi saya mahu membawa kemenangan ini untuk memperbaiki lagi aspek latihan dan teknik kerana mahu memenangi Sukma," katanya.

Kemenangan itu secara tidak langsung memberi gambaran kepada jurulatihnya, Wan Abdul Halim Mamat, mengenai atlet yang akan dibawanya dalam temasya di Johor tahun depan dalam misi memperbaiki jumlah 20 pungutan pingat yang diraih berbanding edisi 2018 lalu di Perak.

"Lawannya tunduk dan terkena bahagian muka dan oleh kerana Norsyahirah tidak dapat meneruskan pertarungan, maka sebab itulah Nor Alia menang menerusi teknikal," kata jurulatihnya itu.