Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) telah diadakan pada Selasa lalu untuk menghargai usaha serta kejayaan atlet-atlet kebangsaan yang mengharumkan nama Malaysia dalam Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN, Ogos dan September lalu.

Skim yang dicipta untuk memberi dorongan kepada atlet, jurulatih dan persatuan sukan kebangsaan (PSK) untuk meningkatkan prestasi masing-masing itu telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Antara atlet yang turut menerima skim tersebut adalah atlet gimnastik negara, Koi Sie Yan, selepas mengungguli acara gimrama individu dan berpasukan ketika Kuala Lumpur 2017, sekaligus mempertahankan pingat yang dimenangi di Singapura 2015 dan membolehkannya menerima anugerah Atlet Wanita Terbaik Sukan SEA 2017.

Bagi atlet berusia 18 tahun itu, hadiah wang tunai RM49,500 yang diterima sangat berharga buat dirinya.

"Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

"Saya akan menyimpan wang ini dan menggunakannya untuk menyambung pelajaran di masa akan datang," katanya.

Sie Yan bakal tampil buat pertama kali dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan dia mengakui sedikit gementar.

"Sekarang, saya hanya melakukan persiapan untuk Sukan Komanwel. Latihan intensif telah diadakan dan saya gembira untuk mengharungi proses tersebut.

"Saya akui sedikit gementar tetapi itu perkara biasa," tambahnya.