Ketua jurulatih skuad gimnastik artistik negara, Ng Shu Liang, terpaksa mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun bagi membentuk skuad pelapis berkualiti selepas persaraan atlet senior, Chau Jern Rong, ekoran kecederaan lutut berpanjangan.

Selepas hampir 10 tahun membimbing Jern Rong, Shu Liang terpaksa akur dengan keputusan anak didiknya itu sekali gus mahu dia fokus pemulihan kecederaan serius di bahagian lutut sejak 2014 lagi.

Bagaimanapun, jurulatih berpengalaman itu belum mahu menekan butang panik tatkala kelibat atlet senior seperti Tan Fu Jie, Jeremiah Loo dan Zul Bahrin masih mampu dipertandingkan di peringkat tertinggi.

"Dia berdepan fobia ketika beraksi kerana sudah mengalami kecederaan yang sangat serius. Atlet muda memang bagus tetapi mereka memerlukan satu atau dua tahun untuk muncul lebih baik, mungkin lebih bagus berbanding Jern Rong," kata Shu Liang.

Dalam masa sama, Jern Rong memaklumkan bahawa surat rasmi mengenai persaraannya akan diusulkan kepada pihak Majlis Sukan Negara (MSN) tidak lama lagi.

Sasarannya adalah untuk menempatkan diri sekali lagi sebagai prospek emas dalam Sukan SEA Hnoi 2021 terpaksa dipadam, namun dia telah memiliki perancangan tersendiri.

"Saya boleh katakan bahawa MSN seperti rumah saya. Itulah zon selesa saya. Saya tidur, berlatih dan sebagainya di sana. Namun, apabila sampai masa, ia bukan lagi untuk saya. Saya akan cuba mencari jalan dalam bidang sama, mungkin dalam akademi atau kelas gimnastik," katanya.