Atlet karate-do negara, Shree Sharmini, tidak akan berganjak daripada kategori kumite 61 kilogram selepas percubaan sulung dalam Kejohanan Asia Tenggara di Vietnam membuahkan pingat gangsa.

Kejayaan itu dilihat sebagai petanda positif menjelang Sukan Asia, Ogos depan -- Sharmini pada mulanya bersaing dalam kategori 68kg sebelum berpindah ke 50kg dan terbaru, 61kg.

Atlet kelahiran Kedah ini tewas kepada wakil tuan rumah dalam separuh akhir Kejohanan Asia Tenggara, Rabu lalu.

Bagaimanapun, prestasi di Vietnam membuktikan dia memiliki potensi besar untuk mencabar kategori yang pernah dikuasai juara Asia, Syakila Saini Jefri Krishnan.

"Saya rasa persembahan saya berada di tahap sebenar tetapi secara keseluruhan, saya berasa lebih baik kerana sebelum ini sewaktu beraksi dalam kategori bawah 50kg, saya lebih fokus kepada mengekalkan berat badan. Kali ini, saya lebih mempersiapkan diri untuk mendapatkan prestasi yang lebih baik," kata Sharmini.

Malaysia menamatkan cabaran dengan enam emas, 10 perak dan 15 gangsa untuk menghuni tangga keempat keseluruhan.

Dengan peluang lebih jelas untuk mengintai pingat Sukan Asia, Sharmini perlu menyertai Kejohanan K1 di Istanbul, Turki, tiga minggu lagi yang akan disertai bintang utama dunia.

"Ia sangat penting kerana apabila bertukar kategori, kedudukan saya sudah menurun. Sebelum ini, saya berada dalam kelompok 10 terbaik semasa dalam kategori 50kg.

"Sebenarnya, bagi saya, kedudukan tidak begitu penting kerana persembahan adalah kunci segalanya," tambahnya.