Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menaruh harapan terhadap atlet kebangsaan, R. Sharmendran, untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo walaupun hanya berbaki tujuh bulan lagi.

Sebelum ini, saingan Sukan SEA 2019 menyaksikan sukan karate meraih empat pingat emas dan salah satunya menerusi kategori kumite lelaki bawah 75 kilogram yang diraih Sharmendran.

Dalam aksi final kumite bawah 75kg, dia mudah menewaskan Songvut Muntaen dari Thailand 3-0 dan berdasarkan persembahan di Filipina, jaguh kebangsaan itu memukau hati badan induk tersebut untuk menjadi sandaran sukan karate melayakkan diri ke pentas Olimpik Tokyo tahun ini.

"Kami fokus kepada Sharmendran untuk layak ke Olimpik. Dalam saingan kelayakan, apabila kami lihat kategori lebih mudah, ia melibatkan Sharmendran. Namun, kami akan tunggu persiapan dia selepas pulih daripada kecederaan nanti," kata Setiausaha Agung MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad.

Dalam masa sama, MAKAF juga akan mula menilai prestasi dan pencapaian atlet, sekali gus atlet yang pencapaiannya kurang memberangsangkan akan diketepikan daripada skuad negara.

"Untuk tahun ini, kami ada buat penyusunan semula dan ada atlet yang dikeluarkan daripada program tersebut. Kami mementingkan pencapaian dan disiplin atlet ketika latihan."




Editor: Nafis Abdullah