Atlet karate negara, R. Sharmendran, sedar kesukaran yang bakal dihadapi tatkala dia menjadi taruhan utama kem kebangsaan untuk layak ke Sukan Olimpik di Tokyo, Julai depan.

Sebelum ini, Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menaruh harapan terhadap atlet kebangsaan, R. Sharmendran, untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo walaupun hanya berbaki tujuh bulan lagi.

Saingan Sukan SEA 2019 menyaksikan sukan karate meraih empat pingat emas dan salah satunya menerusi kategori kumite lelaki bawah 75 kilogram yang diraih atlet berusia 27 tahun itu.

Dalam aksi final kumite bawah 75kg, dia mudah menewaskan Songvut Muntaen dari Thailand 3-0 dan berdasarkan persembahan di Filipina, jaguh kebangsaan itu memukau hati badan induk tersebut untuk menjadi sandaran sukan karate melayakkan diri ke pentas Olimpik Tokyo tahun ini.

"Sukan Olimpik tidak akan mudah. Akan ada tiga kategori. Ia tidak akan mudah seperti sekarang," katanya.

"Peluang memang ada kerana kelayakan terakhir akan diadakan Mei depan. Saya telah berehat dalam satu tempoh yang lama, jadi ia tidak akan jadi mudah.

"Sukan Olimpik memang akan sukar tetapi MAKAF dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersedia untuk membantu, jadi peluang tetap ada. Saya akan mencuba."


Editor: Nafis Abdullah