Bintang tenis Russia, Maria Sharapova, mendedahkan bahawa dia telah memikirkan untuk bersara selepas tamatnya Sukan Olimpik 2016 di Rio.

Dalam satu sesi temubual, dia turut berbicara mengenai final Terbuka Australia 2015, di mana dia benar-benar mahu menamatkan karier selepas tewas di tangan Serena Williams.

“Saya telah bermain tenis secara profesional sejak kecil dan pastinya terdapat beberapa detik dalam hidup yang membuatkan anda mahu hidup normal seperti orang lain.

“Anda mahu bersama rakan-rakan serta keluarga, tidak kira sama ada mereka memerlukan anda atau tidak. Pergi ke sidang media selepas tewas dalam perlawanan, berdepan kritikan apabila tewas, ia membuatkan anda terfikir.

“Ketika itu saya hanya memikirkan persaraan. Walaupun telah berada dalam sukan tenis selama hampir 30 tahun, saya juga memiliki minat terhadap perkara lain.

"Pada waktu itu, saya berusia 28 tahun dan benar-benar tidak menyangka akan melakukannya,” ujar Sharapova.

Sharapova kini dalam proses untuk mengembalikan prestasi ke tahap asal selepas digantung 15 bulan akibat kegagalan ujian doping ketika dalam saingan Terbuka Australia tahun lalu.