Maria Sharapova mengakui kerosakan kekal terhadap reputasinya sambil dia bersiap-siap untuk kembali ke gelanggang selepas penggantungan 15 bulan angkara doping, dalam Kejohanan Terbuka Stuttgart bulan depan.

Bekas pemain nombor satu dunia itu diuji positif untuk bahan terlarang meldonium dalam Terbuka Australia tahun lalu dan awalnya digantung bermain secara profesional selama dua tahun.

Sharapova menafikan mengetahui bahawa meldonium telah ditambah dalam senarai bahan terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada permulaan 2016 dan satu rayuan kepada Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) menyaksikan penggantungannya dikurangkan sebanyak sembilan bulan.

Ditanya sama ada dia berasakan rasa curiga akan melekat padanya untuk baki tempoh kariernya, Sharapova memberitahu Vogue: “Saya fikir kalau saya cuba menyembunyikan sesuatu, saya tidak fikir saya akan tampil berdepan dunia dan menyatakan saya telah mengambil dadah selama 10 tahun.

“Jika saya benar-benar cuba mengambil jalan mudah, itu bukan sesuatu yang cerdik untuk dilakukan. Tapi jawapan kepada soalan anda, sudah pasti.”

Apabila dia kembali ke Sirkit WTA, pemenang lima kali grand slam, Sharapova, berharap untuk mengambil tempatnya semula dalam kalangan pemain-pemain elit.

“Saya mempunyai jangkaan terhadap diri saya sendiri kerana saya tahu apa yang saya mampu lakukan. Apakah saya akan mencapai standard itu? Sudah tentu. Apakah saya harus bersabar? Itu bukanlah kekuatan utama saya."