Pemain tenis Russia, Maria Sharapova, memberi amaran akan bangkit selepas hampir dua tahun menyepi daripada dunia tenis profesional.

Bekas pemain nombor satu dunia itu kembali menyertai Jelajah WTA pada April lalu selepas mengharungi tempoh penggantungan 15 bulan akibat kegagalan ujian doping ketika Terbuka Australia 2016.

Penyertaan pertamanya selepas menjalani hukuman itu menyaksikan dia hanya berjaya layak ke separuh akhir Terbuka Stuttgart sebelum tewas di tangan pemain Perancis, Kristina Mladenovic.

Sharapova tampak melalui laluan sukar dalam kejohanan seterusnya di Madrid sebelum mengalami kecederaan di Rome sehingga membuatkannya terpaksa melupakan aksi di Wimbledon.

Justeru, dia nekad mahu mempamerkan aksi terbaik apabila turun beraksi dalam Bank of the Classic di Stanford pada minggu depan.

“Dua tahun terakhir merupakan tempoh yang amat sukar tetapi cinta saya terhadap tenis tidak pernah padam, malah menjadi lebih kuat,” katanya.

“Kini saya bersedia untuk pertarungan di gelanggang keras dan itu adalah kegemaran saya.

“Saya akan beraksi di Stanford sebelum ke Toronto dan sudah tentu saya akan memberikan segala-galanya yang saya miliki,” kata Sharapova.

“Apabila ia melibatkan tenis, tidak kira baik atau buruk, saya amat merinduinya,” tambahnya.