Maria Sharapova menghadapi aksi getir sekembalinya ke saingan grand slam apabila bertemu pilihan kedua, Simona Halep, dalam pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat.

Sharapova, yang membuat penampilan semula sejak digantung 15 bulan kerana menggunakan bahan terlarang pada April, tidak dapat beraksi sebagai pemain wildcard dalam Terbuka Perancis sebelum menarik diri daripada saingan Wimbledon kerana mengalami kecederaan.

Juara di Flushing Meadows pada 2006, Sharapova akan kembali beraksi di pentas itu dalam aksi pusingan pertama yang dijangka sengit.

Halep merupakan seorang daripada lapan pemain tenis wanita yang mampu mengakhiri musim 2017 sebagai pemain nombor satu dunia.

Bagaimanapun, pemain dari Romania itu telah tewas dalam enam pertembungan dengan Sharapova, saingan yang perlu dielak dalam pusingan awal.

Juara bertahan, Angelique Kerber,akan berdepan Naomi Osaka dari Jepun manakala Karolina Pliskova dijadualkan akan berlawan dengan pemain tenis Poland, Magda Linette.

Selain Pliskova dan Halep, pemain lain yang mampu meraih ranking nombor satu dunia di New York ialah Garbine Muguruza, Elina Svitolina, Caroline Wozniacki,Johanna Konta, Svetlana Kuznetsova dan Venus Williams.