Ratu boling tenpin negara, Shalin Zulkifli, yakin mampu mengejar kelompok empat pemain wanita terbaik negara untuk tersenarai ke Sukan SEA Filipina, November depan.

Atlet berusia 41 tahun itu berkata demi menabur bakti kepada negara, dia bertekad untuk merebut peluang terakhir yang ada sebelum kejohanan dwitahunan itu membuka tirai 31 November depan.

Pemain berpengalaman itu berada di ranking kelapan keseluruhan dalam carta ranking skuad kebangsaan Kongres Boling Tenpin Malaysia (MTBC).

Dia yang sebelum ini mengalami kecederaan belakang, telah pulih sepenuhnya dan berada dalam keadaan terbaik untuk mencapai sasaran yang diletakkan kepada dirinya itu.

"Ternyata keputusan yang diambil sangat tepat dan seterusnya saya mahu fokus kepada pemilihan ke Filipina sahaja.

"Tidak dinafikan pemilihan ke Sukan SEA kali ini agak sukar kerana hanya empat atlet dipilih berbanding enam sebelum ini.

"Sebelum ini, saya tidak sertai kejohanan kebangsaan kerana tidak terpilih ke Kejohanan Wanita Dunia di Las Vegas.

"Jadi, saya rasa baik saya fokus kepada proses pemulihan supaya tidak berlaku kecederaan berulang, kalau main pun akan sakit," katanya.

Bagi membolehkan dia tersenarai dalam skuad kebangsaan dan memburu emasnya yang ke-21 dalam temasya itu, Shalin akan menyertai empat kejohanan antaranya Terbuka Sarawak dan Jelajah Boling Dunia Thailand di Bangkok, 22-28 September ini.

Untuk rekod, Shalin setakat ini mengumpul 20 pingat emas Sukan SEA di belakang bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah, yang memegang rekod sebagai pemenang pingat emas terbanyak iaitu 22 emas sepanjang penyertaan dari 1983 hingga 1989.

Mengulas mengenai pencapaian Malaysia dalam Kejohanan Wanita Dunia 2019 di Las Vegas, yang gagal mengutip sebarang kemenangan, Shalin menyedari kelemahan daripada segi pendedahan di peringkat lebih tinggi menjadi punca wakil negara pulang dengan tangan kosong.

Bekas juara dunia itu menegaskan apa yang ditampilkan rakan sepasukannya di Las Vegas bukan prestasi sebenar dan percaya skuad wanita negara mampu melakukan lebih baik daripada itu.

"Mereka banyak melakukan kesilapan daripada segi teknikal. Pendapat saya, mungkin mereka terlalu mahu menang, namun ia adalah Kejohanan Dunia, memang saingan sangat sengit.

"Tetapi saya rasa mereka boleh buat lebih bagus. Ia tidak mencerminkan prestasi mereka dalam Sukan SEA nanti.

"Saya rasa Malaysia masih boleh membuat kejutan dengan prestasi yang dipamerkan atlet sekarang," katanya.

-- BERNAMA