Jurulatih ping pong negara, Beh Li Wei, mengumumkan dua tonggak Malaysia, Muhd Shakirin Ibrahim dan Ng Sock Khim, tidak akan beraksi dalam Kejohanan Dunia di Dusseldorf, Jerman, bermula 29 Mei ini.

Perbincangan antara barisan kejurulatihan skuad negara bersama Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM), membuat keputusan untuk menghantar barisan muda ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung dua hari lagi.

Ia dilihat sebagai satu keputusan tepat kerana peluang Malaysia untuk mara jauh dalam kejohanan itu agak tipis memandangkan pemain terbaik dunia bakal beraksi di sana.

Justeru, daripada satu aspek, ia dilihat satu pendedahan positif buat skuad muda negara bagi meraih pengalaman berharga.

"TTAM membuat keputusan bahawa tiada peluang untuk Malaysia mara jauh dan memberikan peluang kepada pemain-pemain muda menimba pengalaman di sana," kata Li Wei.

Buat Shakirin dan Sock Khim, mereka tidak terkilan kerana tetap akan giat berlatih bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos depan.

Sock Khim, terutamanya, memerlukan masa untuk proses pemulihan lengan kananya yang cedera sejak Jun 2016.

"Kecederaan tangan saya semakin pulih, saya berharap dapat memberikan yang terbaik dalam Sukan SEA nanti," kata Sock Khim.

"Dengan pengalaman yang dimiliki, kami menekankan kepada latihan taktikal dalam fasa terakhir persiapan menjelang Sukan SEA," kata Shakirin.