Calon timbalan presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim, menarik diri menjelang mesyuarat agung tahunannya (AGM) esok.

Beliau menghantar surat menarik diri hari ini dan situasi itu menyaksikan seorang lagi calon timbalan presiden, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar, menang tanpa bertanding.

Ia juga satu perkembangan menarik kerana Shahidan pernah didakwa mewujudkan kem bersama calon presiden, Datuk SM Muthu, untuk menentang penyandang jawatan presiden, Datuk Karim Ibrahim.

"Datuk Seri Shahidan memandang luas untuk kebaikan KOM dan ini memberikan satu suasana yang baik dalam persatuan," kata Karim.

Shahidan masih memegang jawatan Presiden Persatuan Olahraga Negeri Perlis dan Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Sementara itu, Karim membayangkan penggal berikutnya sebagai tempoh terakhirnya berkhidmat dalam KOM selepas memegang jawatan presiden sejak 2014.

"Saya akan terus memberikan sumbangan sepanjang saya berkhidmat sebagai presiden KOM dan memberikan tanggungjawab ini kepada calon yang dipilih selepas ini," ujarnya.