Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, sekadar menyasarkan untuk memperbaiki catatan masa peribadinya dalam dua acara yang bakal disertainya dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Pemenang pingat gangsa trek Piala Dunia 2017 itu yang sah bertanding dalam dua acara, iaitu keirin dan pecut, mengakui peluang untuk meraih pingat agak sukar memandangkan beberapa kuasa berbasikal dunia termasuk tuan rumah Australia, England, Wales dan New Zealand, dijangka membariskan pelumba terbaik mereka.

"Saya difahamkan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2018, Matthew Glaetzer dari Australia dan Jack Carlin dari Great Britain dijangka menyertai Sukan Komanwel kali ini. Jadi saya lihat peluang untuk meraih pingat agak sukar, namun semuanya bergantung pada hari pertandingan.

"Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri dan cuba untuk memperbaharui rekod peribadi saya dalam kedua-dua acara nanti,” katanya.

Dalam masa sama, anak jati Muar, Johor itu menjelaskan dia tidak bimbang untuk menyesuaikan diri dengan venue pertandingan yang baru dibina, iaitu Velodrom Anna Meares di Queesland, yang terletak tidak jauh dari pusat latihannya di Melbourne.

Juara keirin dunia 2017, Mohd Azizulhasni Awang, bakal mengetuai cabaran 14 pelumba negara yang akan bersaing dalam Sukan Komanwel 2018.

Rekod terbaik Malaysia dalam acara berbasikal trek adalah dalam Sukan Komanwel 2010 di India yang menyaksikan bekas pelumba trek negara, Josiah Ng, memenangi pingat emas dalam acara keirin. -- Bernama


Kredit foto: asiana.my