Serena Williams menghampiri gelaran Grand Slam ke-23 selepas pilihan kedua Kejohanan Terbuka Australia itu menyingkirkan Johanna Konta untuk menempah tempat dalam separuh akhir.

Konta -- pilihan kesembilan dari Britain -- gagal untuk menyaingi Serena yang mempamerkan penguasaan dan keampuhan untuk memuktamadkan kemenangan 6-2, 6-3 di Rod Laver Arena hari ini.

Ia merupakan kemaraan ke-10 berturut-turut Serena dalam separuh akhir -- 34 kali secara keseluruhan -- selepas bertarung selama satu jam 15 minit.

Pemain Amerika Syarikat berusia 35 tahun, Mirjana Lucic-Baroni, bakal menjadi penghalangnya selepas ini.

Terdahulu, Serena gagal menampilkan rentak meyakinkan ketika melangkah ke suku akhir selepas dia dilihat bergelut ketika melakukan servis dalam pertemuan dengan Barbora Strycova dalam pusingan 16.

Begitupun, Serena memperlihatkan keupayaan sebenarnya hari ini, terutama dalam set kedua.

Konta, yang merupakan pemenang Kejohanan Antarabangsa Sydney, memiliki rekod baik apabila melepaskan hanya dua set dalam laluannya ke suku akhir.

Serena dipaksa bekerja keras apabila memberi mata penamat dalam servis pertama set kedua sebanyak tiga kali pada ketika dia mendahului 0-40.

Konta kemudian mendapat rentak untuk mengecewakan Serena dengan mendahului 3-1.

Namun, dua kesilapan memberi ruang untuk Serena kembali memperkemaskan permainannya.

Serena tidak lagi memandang ke belakang sebelum menamatkan sisa perjuangan lawannya.

"Dia bermain dengan begitu baik. Adalah penting untuk saya tidak memandang rendah kepada sesiapapun. Dia sudah menanti saat ini sejak sekian lama," katanya kepada pemberita.

"Dia amat mengidamkan kemenangan Grand Slam dan mahu beraksi dengan baik.

"Adalah penting buat saya untuk kekal fokus dan terus bermain dengan baik. Saya harap dapat meraih kemenangan.

"Saya datang untuk menang. Saya di sini untuk memberikan aksi sebaik mungkin."

Lain-lain keputusan:

Perseorangan wanita
Mirjana Lucic-Baroni mn Karolina Pliskova 6-4, 3-6, 6-4