Serahkan Program Podium kepada pegawai tempatan! Itu pandangan Penolong Setiausaha Agung, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, selepas atlet negara tidak menunjukkan banyak peningkatan di bawah program termahal itu.

Hanya biasa-biasa.

Itu komen Kok Chi selepas Malaysia menamatkan cabaran dengan tujuh emas, lima perak dan 12 gangsa di tangga ke-12 keseluruhan dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018 yang berakhir semalam.

Ia hanya satu emas mengatasi pencapaian dalam temasya Glasgow empat tahun lalu walaupun sebanyak RM145 juta sudah dilaburkan dalam Program Podium.

Justeru, Kok Chi berpendapat, pegawai asing yang mengendalikan Program Podium cuma setaraf pegawai tempatan.

"Perkara pokoknya berapa banyak telah dibelanjakan untuk komponen teknikal seperti pengurusan dan kejurulatihan, termasuk atlet.

"Jadi, ia akan kekal telus sama ada wang dibelanjakan secara efektif atau tidak.

"Mungkin sejak 1998 sehingga ke hari ini, kita tidak mempunyai kepakaran tenaga asing untuk mengambil alih.

"Malaysia sudah merdeka lebih dari 60 tahun, Malaysia lebih daripada sekadar mampu untuk mengemudi program ini," katanya.

Antara nama yang dikaitkan sebagai calon terbaik mengendalikan Program Podium ialah Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.