Gagal ke separuh akhir dalam Kejohanan Hoki Wanita Piala Tun Abdul Razak 2017 bukanlah kegagalan bagi pengendali pasukan Terengganu, Muhammad Harun Al-Rashid Samri, malah ia salah satu pengalaman untuk anak buahnya lebih bersedia ke Sukan Malaysia (SUKMA) 2018.

Terengganu, yang memerlukan kemenangan untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terakhir, terpaksa berputih mata apabila tewas 0-3 di tangan Perak di Stadium Hoki Kuala Lumpur, semalam.

Bagaimanapun, Harun tetap memberikan pujian kepada barisan pemainnya yang masih muda kerana sasaran sebenar mereka bukanlah untuk ke separuh akhir tetapi berada dalam senarai lima terbaik.

Ia sudah memadai untuk memberi pengalaman baru kepada pemain-pemain kerana misi utama jurulatih itu adalah untuk menilai pemain dan mempersiapkan skuad terbaik ke SUKMA 2018.

"Pasukan saya terdiri daripada pemain-pemain yang akan ke SUKMA dan saya masih dalam proses pemilihan.

"Mungkin ada pemain yang akan digugurkan tetapi saya mahu cuba memperkukuhkan terlebih dahulu. Saya mahu melihat bagaimana mereka menghadapi aksi-aksi dengan tekanan tinggi seperti ini," kata Harun.

Sementara itu, pengendali Perak, Mohd Azlan Ahmad, enggan menoleh ke belakang apabila misi untuk ke separuh akhir dinafikan oleh Kuala Lumpur yang menang 8-1 ke atas Indonesia.

Apa yang penting, mereka perlu bangkit untuk berdepan Melaka petang ini untuk penentuan tempat kelima hingga kelapan.

"Saya rasa berpuas hati deng pemain-pemain saya. Sekurang-kurangnya kami mencuba dan tidak memberikan laluan yang mudah," ujarnya.