Malaysia meraih kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei dalam perlawanan pertama peringkat round robin acara sepak takraw berpasukan Sukan SEA Ke-29 di Stadium Tertutup Titiwangsa, hari ini.

Skuad negara bermula garang apabila regu pertama yang dibarisi Meor Mohamad Zulfikar Amin, Azlan Alias dan Syazreen Qamar Salehan mencatat kemenangan 21-9, 21-10.

Strategi Malaysia menurunkan regu utama yang dibarisi Hanafiah Dollah, Syahir Rosdi dan Farhan Adam selaku regu kedua, menyaksikan perlawanan kedua menentang Brunei dimenangi mudah 21-5, 21-7.

Dalam pertemuan regu terakhir, Malaysia sekali lagi tidak berdepan masalah untuk menewaskan lawan 21-12, 21-16.

Selain Malaysia dan Brunei, acara ini disertai Thailand dan Indonesia.

Sementara itu, skuad Gajah Perang yang menurunkan regu utama mereka, Yupadee Pattarapong, Siriwat Sakha dan perejam sensasi, Pornchai Kaokew, menewaskan Indonesia 3-0 dalam perlawanan pertama.

Dengan menggunakan format round robin, kedudukan pingat akan ditentukan menerusi kutipan mata tertinggi.

Malam ini, Malaysia akan bertemu Indonesia, sebelum melengkapkan perlawanan terakhir menentang Thailand, esok.