Kemelut sepak takraw negara kelihatan semakin parah apabila Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) memutuskan untuk melucutkan keahlian Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berkuat kuasa serta merta.

Perkembangan terbaru itu sudah pasti menimbulkan polemik baru dalam pengurusan sepak takraw negara, yang kelihatan masih belum berpenghujung.

Nadi Arena melaporkan bahawa ISTAF, menerusi satu surat bertarikh 21 Mac lalu, telah bersidang dengan jawatankuasa eksekutifnya bagi meneliti laporan yang dihantar oleh Persatuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) berhubung penyingkiran PSM daripada badan induk itu.

Mereka sebulat suara bersetuju bahawa mantan presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, dan persatuan itu telah melanggar perlembagaan ASTAF, sekali gus meluluskan pengguguran PSM daripada naungan ISTAF.

Terdahulu, PSM menerusi peguam mereka telah menghantar beberapa tuntutan kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, untuk menilai semula pengiktirafan terhadap badan baru, Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC).

PJS sudah mengambil maklum perkara itu dan sedia meniti segala tuntutan berkenaan tetapi segala keputusan yang akan dibuat adalah berdasarkan undang-undang PJS.