Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, merancang untuk memanggil semula jurulatih pakar pukulan sudut penalti Belanda, Taeke Takema, untuk menajamkan lagi serangan menjelang kempen Final Siri Hoki Dunia 2019, bermula 26 April ini.

Oltmans belum berpuas hati dengan kemampuan pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Razie Abd Rahim, Faizal Saari dan Najmi Farizal Jazlan dalam Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah yang berakhir semalam.

Malaysia meraih 10 gol daripada gerakan itu sementara sembilan lagi menerusi gerakan padang.

Beliau yakin masih banyak ruang perlu diperbaiki sehingga menuntut semula sentuhan Takema.

"Kami akan terus perbaiki pasukan dan ada tugas yang perlu dilakukan.

"Saya sedar setiap kemajuan memerlukan masa untuk menuai hasilnya, perubahan tidak akan menampakkan hasil dalam tempoh selama empat-lima hari sahaja.

"Perkara positifnya saya masih berpuas hati dengan pukulan sudut penalti," kata Oltmans.

Malaysia meraih tangga ketiga Piala Sultan Azlan Shah 2019 selepas menewaskan Kanada 4-2 dalam aksi penentuan di Ipoh, Perak, semalam.

Sementara itu, kapten Kanada, Mark Pearson, yakin bahawa mereka mampu bangkit daripada dua kekalahan kepada Malaysia di Ipoh apabila kedua-dua pasukan berentap di Bukit Jalil, bulan depan.

"Malaysia mengalahkan kami dua kali berturut-turut dan pasti mahu mengulanginya.

"Kami akan melakukan perubahan dengan mengkaji semula aksi rakaman.

"Beberapa pemain akan kembali daripada kecederaan menjelang Final Siri Hoki Dunia bulan depan.

"Kami gembira atas peluang beraksi di sini kerana penyokongnya ramai," katanya.