Pemain tenis wanita nombor satu dunia, Angelique Kerber, lega kerana kembali ke prestasi asalnya untuk bangkit menewaskan Shelby Rogers dalam pusingan ketiga kejohanan Wimbledon (SW19) 2017, semalam.

Kerber mengalami masalah prestasi pada tahun ini selepas hanya berjaya ke final Jelajah WTA sekali pada musim ini, namun tewas di tangan Anastasia Pavlyuchenkova dalam Terbuka Monterrey.

Dia perlu layak ke final sekali lagi dalam usaha untuk mengekalkan tempatnya di singgahsana carta pemain perseorangan wanita, namun berdepan cabaran sukar daripada pemain Amerika Syarikat, Rogers.

Selepas ketinggalan 2-4 di babak awal permainan, Kerber berjaya bangkit dalam set seterusnya untuk meraih kemenangan 4-6, 7-6 (7-2), 6-4, sekaligus menempah tiket ke kelompok 16 terakhir dan akan bertemu pemain Sepanyol, Garbine Muguruza.

"Saya menemui semula sentuhan dalam set kedua,"143636a Kerber.

“Ia satu detik yang penting dan tanpanya, saya tidak mungkin akan berada di pusingan seterusnya.
"Bagaimanapun ia menjadi kunci utama di set kedua, saya benar-benar bangkit dan mempamerkan aksi lebih baik,” katanya lagi.

Kerber dan Muguruza pernah bertemu sebanyak tujuh kali sebelum ini dan dalam kejohanan sama dua tahun lalu, kemenangan telah berpihak kepada pemain tangga ke-15 dunia itu.

Kerber sedar mengenai perkara itu dan mahu menamatkan badi kekalahan di tangan Muguruza selepas tewas dalam empat pertemuan terakhir.

“Saya perlu bermain di tahap maksimum dan mendapatkan mata lebih awal.

“Perlu lebih agresif dan mempersembahkan corak permainan saya sendiri, itu yang paling penting,” tambah Kerber.