Peluncur air negara, Aaliyah Yoong Hanifah, menganggap kejayaannya dalam Kejohanan Luncur Air Remaja Moomba Australia 2019 sebagai pembakar semangatnya untuk menghadapi Kejohanan Remaja Dunia B-21 2019, bulan depan.

Aaliyah meraih pingat perak melalui disiplin teknik dan keseluruhan di Australia, Mac lalu.

Kejayaan itu meningkatkan keyakinan peluncur berusia 15 tahun berkenaan untuk meneruskan momentum di Shalom Park, Kanada, 4-7 Julai ini.

"Dalam kejohanan di Melbourne (Australia), saya memberikan penampilan yang lebih baik daripada tahun lalu.

"Saya juga sudah boleh fokus kepada latihan selepas selesai menduduki peperiksaan tahun ini," katanya.

Di sebalik kejayaan itu, Aaliyah menganggap keupayaan dirinya masih jauh untuk bersaing dalam Kejohanan Dunia di Malaysia, Ogos ini, yang bakal menampilkan peluncur elit dunia.

Untuk rekod, Aaliyah pernah menghadiahkan tiga pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menerusi disiplin lompatan, teknik dan keseluruhan.

"Kejohanan Dunia akan menampilkan peluncur handalan dunia tetapi peluang saya agak tipis untuk menaiki podium tetapi mana tahu ada rezeki saya," katanya.