Kancah e-sukan digegarkan dengan perkhabaran mengejutkan apabila pasukan PUBG, Sem9.Gank, menerima tajaan baru bernilai RM2 juta.

Tajaan ini merangkumi semua aspek termasuk pendapatan pemain dan kos latihan bagi menjuarai beberapa kejohanan di peringkat Asia Tenggara.

Namun, aspek kesihatan dan kebajikan Gank juga tidak diabaikan dalam proses mereka mengimbangi karier dan kehidupan.

"Yang pertama, gaji semua pihak yang terlibat akan dinaikkan. Yang kedua, saya percaya kebanyakan organisasi (e-sukan) di Malaysia hanya membayar gaji dan elaun.

"Tapi kami berhasrat memastikan pemain-pemain akan menikmati KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan SOSCO (Pertubuhan Keselamatan Sosial)," kata pengasas Sem9.Gank, Tommy Cheng.




Ketua pasukan Sem9 Gank, Aiman Amirul, menganggap penajaan ini menjadi pembakar semangat untuk mencapai ke tahap yang lebih tinggi.

"Kami akan sedaya upaya berusaha dapatkan slot C seterusnya ke PMGC (kejohanan global).

"Dengan barisan kali ini, kami harapkan dapat buat lebih baik daripada apa pernah dicapai," katanya.