Kim Sei-young semakin selesa untuk meraih gelaran utama sulungnya apabila melebarkan kelebihan kepada dua pukulan selepas tamat pusingan ketiga Kejohanan PGA Wanita, sebentar tadi.

Pemain golf Korea Selatan itu yang sudah meraih 10 kejuaraan Jelajah LPGA tetapi masih tercari-cari trofi utama -- menerajui kejohanan dengan catatan tiga bawah par 67 di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS).

Pemain berusia 27 tahun itu, yang merupakan pemain aktif paling berjaya tanpa kejuaraan utama, mendahului kejohanan dengan melakar tujuh di bawah par di 54 lubang untuk mendahului juara edisi 2016, Brooke Henderson (65) dan juara 2009, Anna Nordqvist (68).

"Saya tidak akan mengatakan bahawa saya gugup bahkan saya teruja untuk memasuki hari terakhir," kata Kim di Aronimink Golf Club.



Juara PGA Wanita tiga kali dan pemenang tujuh gelaran utama, Inbee Park (66), ketinggalan tiga pukulan sementara Bianca Pagdanganan (65) dengan satu pukulan menjelang pusingan akhir esok.

Juara bertahan, Hannah Green, pula terikat di tangga ke-49 dengan tujuh pukulan di atas par.