Atlet lompat tinggi wanita kebangsaan, Yap Sean Yee, kecewa kerana gagal memperbaiki rekod kebangsaan walaupun cemerlang mengungguli acara berkenaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016.

Sean Yee merupakan pemegang rekod kebangsaan acara lompat tinggi wanita, dengan catatan 1.79 meter.

Dia mencuba untuk mengatasinya dalam saingan di Stadium Universiti Malaya tetapi gagal dan terpaksa berpuas hati dengan catatan 1.74 meter.

Sean Yee yang mewakili Kuala Lumpur, mengatasi tentangan peserta Thailand, Banida Boonban, untuk bergelar juara.

"Saya mencuba untuk mengekalkannya tetapi keputusan hari ini masih memuaskan dan masih boleh diterima.

"Saya mendapat sedikit motivasi kerana bersaing dengan atlet dari luar Malaysia, iaitu Thailand, yang merupakan sahabat saya sendiri, yang memenangi pingat emas dalam Sukan SEA yang lalu," jelas Sean Yee.

Dalam saingan trek, acara 10,000 meter lelaki menyaksikan R. Thevan menepati ramalan untuk muncul juara, sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya tahun lalu.

Atlet Negeri Sembilan itu merekodkan catatan peribadi baharu, 32:30.8 saat untuk bergelar juara, mengatasi G. Sivaneshbaran dan Ob Yong Jin Kuang.

"Saya tidak berpuas hati kerana saya mahu memperbaiki rekod saya, tetapi saya tetap menerimanya.

"Dalam Sukan SEA Kuala Lumpur nanti, saya mensasarkan untuk membuat rekod peribadi yang lebih baik dan saya mahu memperbaikinya," kata Thevan.

Saingan wanita pula dimenangi Annie Yee Pei Ni, yang wakili Pulau Pinang dengan catatan 43:53 saat.

Lebih menarik, itu merupakan penyertaan sulung Annie dalam acara trek kerana lebih banyak terbabit dalam acara maraton sebelum ini.

"Saya langsung tidak menjangkakannya kerana ini merupakan acara larian pertama saya tetapi saya mampu untuk melakukannya walaupun ia bukan catatan peribadi terbaik saya," ujar Annie.

Sementara itu, saringan bagi acara 100 meter lelaki menyaksikan atlet Melaka, Badrul Hisham Abdul Manap, merekodkan catatan terpantas 10.63 saat untuk layak ke separuh akhir.

Turut mara, atlet Sarawak, Johathan Nyepa, serta Nixson Kennedy yang mewakili ATM.